Lelaki pecahkan pintu kaca bangunan MPTI ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki pecahkan pintu kaca bangunan MPTI ditahan

KEADAAN pintu kaca bangunan MPTI yang dipecahkan seorang lelaki di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan perbuatan khianat memecahkan pintu kaca bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, warga emas berusia 63 tahun itu ditahan selepas dilaporkan mengamuk dan merosakkan harta awam dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi.

Katanya, suspek yang bersenjatakan tukul besi itu turut bertengkar dengan kakitangan MPTI kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Berdasarkan siasatan, suspek datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal dan meletakkan kenderaan tersebut di hadapan bangunan MPTI.

“Lelaki itu kemudiannya bertindak memecahkan kedua-dua pintu kaca utama bangunan tersebut dengan tukul besi sebelum cuba meninggalkan lokasi namun sempat ditahan oleh kakitangan MPTI dan diserahkan kepada polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam keterangan suspek, dia menyatakan puncanya bertindak sedemikian kerana tidak puas hati dengan tindakan MPTI yang memasang khemah di hadapan kedainya di Jalan Bandar ketika perayaan Chitra Pournami yang disambut setiap tahun.

Katanya, tindakan PBT itu didakwa menghalang pandangan pelanggan ke kedainya yang menjalankan perniagaan membaiki jam.

“Menurut suspek, dia telah membuat beberapa aduan kepada MPTI selain laporan polis namun tiada tindakan diambil sehingga menyebabkan dia bertindak agresif,” katanya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Teluk Intan dan permohonan reman ke atas lelaki itu akan dijalankan di Mahkamah Majistret Teluk Intan esok bagi tujuan siasatan.

“Pihak polis turut merampas barang kes iaitu tukul besi yang digunakan dalam kejadian ini. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video berdurasi dua minit 37 saat yang memaparkan ‘perang mulut’ antara seorang lelaki dan beberapa individu dipercayai kakitangan MPTI di mana pintu kaca di bangunan utama premis tersebut dilihat telah pecah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN