Lelaki ditahan dipercayai rosakkan kuil di Ampang

Lelaki ditahan dipercayai rosakkan kuil di Ampang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis dipercayai merosakkan rumah ibadat agama Hindu di Taman Sri Ampang, dekat sini, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian terbabit daripada kakitangan kuil. 

Katanya, pengadu berusia 34 tahun itu terlihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbitnya kira-kira pukul 6 pagi.

“Pengadu terus bergegas ke kuil sebelum dihalau oleh suspek sebelum lelaki itu mengacukan parang dan mengugut untuk memotong kepala pangadu.

“Suspek juga didapati membawa satu tukul besi, pemotong besi, dua bilah parang serta sebilah keris dan telah memecahkan tempat sembahyang di kuil terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, bertindak hasil maklumat, sepasukan anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah ke lokasi sebelum menahan suspek berusia 33 tahun yang merupakan penganggur pada 8.38 pagi. 

“Ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif methamphetamine serta amphetamine. Kita turut merampas sebatang tukul besi, pemotong besi, beg, dua bilah parang, keris serta motosikal jenis Yamaha 135LC,” katanya. 

Tambahnya, suspek akan direman esok di Mahkamah Majistret Ampang Jaya.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN