LBS, OHB bangunkan projek pembangunan industri bercampur

LBS, OHB bangunkan projek pembangunan industri bercampur RM7b di Melaka

AB. RAUF Yusoh menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara LBS dan OHB di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS) dan Oriental Holdings Berhad (OHB) bekerjasama melaksanakan projek pembangunan industri bercampur di Klebang di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM7 bilion.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, cadangan pembangunan tersebut meliputi kawasan seluas kira-kira 227 hektar dan bakal dilaksanakan dalam empat fasa.

LIM HOCK SAN

Beliau berkata, butiran khusus mengenai lokasi dan pecahan kawasan tanah akan dimuktamadkan menerusi perjanjian muktamad (definitive agreements) yang akan dipersetujui bersama oleh semua pihak yang terlibat.

“Melaka di kedudukan keenam daripada segi jumlah transaksi hartanah industri. Transaksi bagi tanah kosong dan hartanah jenis separa berkembar telah mencatatkan kadar pertumbuhan dua angka didorong oleh permintaan tinggi daripada pelabur dan pasaran pengguna.

“Selain itu, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang sedang dalam perancangan dijangka menjadi alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). WCE berupaya menjadi pemangkin pembangunan kawasan-kawasan pantai sekali gus membawa limpahan ekonomi yang positif,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara LBS dan OHB di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

MoU itu ditandatangani Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Lim Hock Sing dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan OHB, Datuk Loh Kian Chong dengan disaksikan Ab. Rauf.

Tambah Hock San, MoU itu merangkumi cadangan projek pembangunan industri bercampur bersepadu dengan fokus kepada pembangunan industri dan komersial.

Jelasnya, kawasan Klebang dipilih kerana terletak di lokasi strategik dalam Projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang menawarkan potensi pertumbuhan tinggi melalui akses pantai dan infrastruktur yang semakin berkembang.

“Tumpuan utama adalah untuk memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam sektor pengeluaran minyak dan gas, pembuatan, rantaian bekalan makanan dan minuman, logistik serta pergudangan. Selain itu, unit industri turut mempunyai nilai komersial dan berfungsi sebagai ruang pameran runcit kerana terletak di hadapan jalan utama.

“MoU ini menandakan satu pencapaian penting ketika kami mengembangkan pembangunan ke wilayah Selatan. Menerusi kolaborasi ini kami bersemangat untuk membangunkan Klebang sebagai sebuah kawasan perbandaran yang berdaya maju dan mampan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN