MELAKA: Kilang pertama di bawah pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) dijangka beroperasi seawal suku pertama 2026 dengan keseluruhan projek dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 20 bulan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek berimpak tinggi itu kini memasuki fasa akhir sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan selepas hampir semua syarat teknikal dipenuhi.
“Setakat ini kita telah memperoleh kelulusan penting seperti Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA), Kajian Kesan Trafik (TIA), Kajian Kesan Sosial (SIA), kelulusan pelan bangunan serta penukaran zon.
“Hanya kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih ditunggu dan insya-Allah kerja pembinaan dapat dimulakan seawal bulan hadapan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Melaka Corporation (MCORP) dan World Economic Council (WEC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Menurut Ab Rauf, GTP menyasarkan kehadiran lebih 30 syarikat pelabur dari Jerman dalam sektor teknologi tinggi, automasi, tenaga hijau dan digitalisasi yang akan menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan.
“Kerajaan negeri akan terus komited menjadikan Melaka sebagai hab pelaburan teknologi serantau melalui kerjasama strategik seperti ini,” katanya. – UTUSAN