PETALING JAYA: Kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai formula terbaik bagi mentadbir negeri berkenaan.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, bagaimanapun Barisan Nasional (BN) perlu memulihkan hubungan dengan GRS terlebih dahulu sebelum memutuskan soal kerjasama dan pembahagian kerusi.
Katanya, PH bersedia menjadi orang tengah bagi memulihkan hubungan antara UMNO dan GRS bagi menghadapi PRN Sabah.
“PH bersedia pada bila-bila masa untuk untuk menjadi pendamai kepada GRS dan BN. Malah apa yang saya tahu BN sendiri tiada apa-apa masalah dengan GRS. Yang berseteru ialah Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan penyokongnya.
“Dalam pentadbiran Sabah pun masih ada orang BN dan UMNO. Justeru BN perlu menjernihkan hubungan dengan GRS kerana kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini sehingga menjejaskan strategi menghadapi pilihan raya nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN memperoleh 40 kerusi dan baki 33 kerusi diberikan kepada PH dalam PRN17 Sabah nanti.
Bagaimanapun, Razeef berkata, kenyataan tersebut juga hanyalah pendirian parti termasuk isu berkaitan poster boy tanpa mendapat apa-apa persetujuan daripada PH.
Razeef juga berkata, seandainya kerjasama tersebut dibentuk, semua parti akan memberi fokus kepada kerusi yang diperoleh masing-masing.-UTUSAN










