Kerjasama ASEAN-Negara Teluk platform terbaik hadapi perang tarif AS-China - Utusan Malaysia

Kerjasama ASEAN-Negara Teluk platform terbaik hadapi perang tarif AS-China

ANWAR Ibrahim bersalaman dan memeluk Rafizi Ramli yang tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR sempena Kongres Nasional Keadilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerjasama antara negara ASEAN dan enam Negara Teluk menerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bakal menjadi platform terbaik berdepan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini ketua-ketua negara tersebut sedang berada dua hari di Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan ASEAN bermula esok.

Katanya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah diberikan tanggungjawab besar untuk menganjurkan pertemuan antara negara dua rantau hebat itu.

“ASEAN kini sedang pantas berkembang dengan kemajuan ekonomi, ditambah dengan enam Negara Teluk untuk mengadakan kerjasama antarabangsa.

“Kerjasama ini sekiranya berhasil akan meletakkan Malaysia dan ASEAN dalam kedudukan hebat di dunia. Ia menjadi lebih penting dalam keadaan ketegangan ekonomi antara Amerika syarikat dan China,” katanya ketika semasa merasmikan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini malam ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, Malaysia sebagai sebuah negara bebas, merdeka dan berdaulat boleh mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Dalam keadaan kita dikenakan tarif oleh Amerika Syarikat, kita perlu kekal menjalankan urusniaga dengan mereka. Apapun isu tarif atau geopolitik, syarikat antarabangsa akan terus menjalankan perniagaan dan berkembang di negara ini.

“Kita pilih hadapi sebarang cabaran dengan strategi, kita adakan pertemuan antara wakil kedua-dua negara dan teruskan rundingan secara bilateral dengan ciri-ciri ASEAN,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar menasihatkan pemimpin dan ahli muda PKR supaya jangan terbawa-bawa dengan budaya kerosakan, nilai akhlak tidak bermoral dan sikap tamak kerana budaya itu akan menghancurkan mana-mana parti dan negara.

“Sebaliknya, marilah kita gilapkan semula matlamat PKR dalam terus membangunkan negara menjadi lebih cemerlang pada masa depan,” katanya sambil menggesa supaya semua ahli merapatkan hubungan dan terus memperkukuhkan parti selepas melalui fasa pemilihan kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN