PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesahkan keputusan pemilihan semua 220 cabang parti itu yang berlangsung di seluruh negara pada baru-baru ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, mesyuarat MPP berlangsung semalam berpuas hati mengesahkan keputusan itu setelah mendengar pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan laporan juruaudit digital antarabangsa selaku pihak ketiga.
Keputusan muktamad pemilihan cabang dipamerkan di https://keputusan.keadilanrakyat.org/.
“MPP mengesahkan tarikh-tarikh penting di dalam garis masa persiapan menghadapi Kongres Tahunan untuk 2024 & 2025 yang akan berlangsung pada 23 Mei 2025 sehingga 25 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru,” katanya.
Sebelum ini, pemilihan Cabang PKR menyaksikan beberapa nama menteri dan wakil rakyat kalah antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa manakala Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tewas Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Fuziah memaklumkan, Kongres Tahunan PKR kali ini akan menerima kehadiran seramai lebih kurang 10,000 perwakilan yang mengundi secara fizikal di kongres untuk memilih MPP manakala lebih 20,000 perwakilan mengundi secara atas talian.
Sistem perwakilan berpaksikan kepada konsep representasi berkadar mengikut sokongan juga dijangka menarik perhatian kerana calon Ketua Cabang kalah juga layak menghantar perwakilan ke kongres.
Katanya, hal ini kerana apabila mereka boleh menamakan senarai perwakilan di mana jumlahnya mengikut kadar peratus undi yang diterima mereka di pemilihan peringkat cabang tempoh hari.
“Prinsip menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua, menyemarakkan lagi proses demokrasi pemilihan 2025 sewaktu kongres kali ini,” katanya.
Sementara itu kata Fuziah, memandangkan persiapan kongres memerlukan pengurusan teliti, MPP dimaklumkan bahawa satu Jelajah Pra
Kongres ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan digerakkan ibu pejabat untuk memastikan bahawa perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif dalam membuat persiapan rapi untuk ke kongres kelak.
Ada platform khas untuk calon MPP bertemu perwakilan dan memperkenalkan diri. – UTUSAN