Kepemimpinan Raja Perlis inspirasi golongan belia

Kepemimpinan Raja Perlis inspirasi golongan belia

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail beramah mesra bersama para penerima Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dalam kalangan pelajar cemerlang di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sentiasa menzahirkan sokongan terhadap pembangunan modal insan, pendidikan dan perpaduan melibatkan golongan belia sebagai teras utama negeri.

Justeru, sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82, ia bukan sekadar memperingati tarikh lahir seorang raja sebaliknya merupakan detik cukup penting untuk generasi muda menilai semula peranan dan tanggungjawab dalam membina negeri yang maju, bersatu serta sejahtera.

Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perlis, Mohd. Jeffry Hassan berkata, seluruh rakyat khususnya belia di negeri ini bertuah kerana dinaungi oleh seorang raja yang melihat potensi golongan muda bukan sekadar pewaris.

MOHD. JEFFRY HASSAN

Katanya, baginda melihat golongan belia sebagai pemacu kemajuan negeri yang bertanggungjawab, berilmu dan berakhlak tinggi.

“Baginda juga terkenal sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat serta sentiasa mendekati masyarakat dan prihatin terhadap keperluan serta masa depan belia.

“Bersempena sambutan Hari Belia pada 15 Mei yang juga dekat dengan sambutan hari kepute­raan baginda pada 17 Mei, golo­ngan belia perlu mengutamakan dan mengingati hari keputeraan baginda dalam setiap suntingan atau ucapan di media sosial.

“Ia agar seluruh rakyat terutamanya golongan belia sentiasa ingat dan cakna tentang hari keputeraan Raja Perlis yang dikasihi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Mohd. Jeffry, ke­peribadian Tuanku Syed Sirajuddin yang sederhana, tegas dan bijaksana menjadi inspirasi kepada para belia dalam memupuk sifat kepimpinan, integriti serta rasa cinta terhadap negeri ini.

Katanya, kepemimpinan yang berlandaskan prinsip Islam dan nilai sejagat juga menjadikan baginda lambang perpaduan dan kestabilan Perlis.

“Semua lapisan masyarakat khususnya golongan belia perlu menunjukkan taat setia kepada baginda sebagai payung ne­geri serta melibatkan diri dalam program kenegaraan, kesukarelawanan dan pendidikan yang menyum­bang kepada kesejahte­raan negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN