Kemenangan Nurul Izzah beri kesan hala tuju politik negara - Pas - Utusan Malaysia

Kemenangan Nurul Izzah beri kesan hala tuju politik negara – Pas

Mohd. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menyifatkan pemilihan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai satu cabaran besar, khususnya bagi sayap Muslimat  kerana ia adalah percaturan yang memberi kesan langsung kepada hala tuju politik negara.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kemenangan Nurul Izzah pada pemilihan PKR  bukan hanya kerana beliau mewarisi nama reformasi atau anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya disusun dengan teliti bagi mengisi tempat bapanya sebagai Perdana Menteri.

“Wanita memiliki daya tarikan tersendiri yang boleh menarik perhatian serta menyentuh hati ramai, terutama pengundi wanita yang kini menjadi majoriti dalam daftar pemilih. Jika kita (Pas) alpa, gelombang ini (kemenangan Nurul Izzah) mampu melanda tanpa sempadan sekali gus merubah wajah politik negara,” katanya di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, perkara tersebut perlu diteliti oleh Muslimat Pas dan mereka tidak lagi boleh melihat pentas politik sebagai ruang simpati atau pentas menanti, sebaliknya sebagai medan siasah yang menuntut kecerdasan membaca masa serta keberanian bertindak cepat.

Menurutnya, sudah tiba saatnya untuk Muslimat Pas menyemak semula strategi, merombak pendekatan serta memperhalusi cara berfikir dan bangkit dengan kesedaran baharu, semangat lebih jitu, juga kefahaman lebih mendalam.

“Jangan terperangkap dalam nostalgia perjuangan yang beremosi tetapi tandus kefahaman. Kita pernah terpesona dengan gaya dan kata, namun akhirnya menanggung luka sendiri. Kesilapan itu tidak boleh diulang.

“Muslimat Pas mesti bangkit sebagai benteng hadapan dan menjadi sayap utama perjuangan. Mereka tidak lagi wajar dilihat sebagai pelengkap program tetapi menjadi jentera penggerak ummah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN