KUALA LUMPUR: ASEAN dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7 peratus pada 2025 dengan kadar inflasi sekitar tiga peratus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pertumbuhan berkenaan melebihi purata global, didorong oleh eksport yang kukuh dan perbelanjaan awam di negara-negara anggota utama.
Beliau turut memberi amaran bahawa unjuran ini berdepan risiko penurunan akibat ketidaktentuan ekonomi global, termasuk semakan semula ramalan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Walaupun tiada sasaran baharu perdagangan intra-ASEAN ditetapkan, kemajuan dalam Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dijangka dapat meningkatkan perdagangan serantau secara ketara,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI yang juga ketua perundingan tarif AS, Mastura Ahmad Mustafa turut menjawab pertanyaan mengenai isu barangan dalam transit, khususnya berkaitan perlindungan pasaran oleh sesetengah negara anggota ASEAN seperti Thailand.
Tegas Mastura, isu seperti itu akan ditangani oleh Jawatankuasa Koordinasi (CCA) di bawah perjanjian yang telah dinaik taraf dan ASEAN mempunyai disiplin bersama untuk tidak melaksanakan langkah yang boleh mencetuskan halangan bukan tarif sesama negara anggota.
“Perkara seperti pelaksanaan dan sekatan transit akan dibincang secara teknikal melalui saluran perjanjian sedia ada, termasuk jawatankuasa khusus,” katanya. – UTUSAN