Kawalan visa: Ibadah lebih tenang di Masjidil Haram

Kawalan visa: Ibadah lebih tenang di Masjidil Haram

JEMAAH haji dari pelbagai negara melakukan ziarah luar di Padang Arafah dalam cuaca panas terik dan kering kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Kawalan ketat yang dilakukan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung peraturan larangan haji tanpa visa bukan sahaja memberi kesan positif kepada keselamatan jemaah yang sah malah mereka dapat menunaikan ibadah di Masjidil Haram, di sini dalam keadaan lebih tenang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Tabung Haji (TH) melihat keberkesanan peraturan ketat larangan haji tanpa visa sah oleh kerajaan Arab Saudi adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan jemaah dari seluruh dunia terjamin.

“Kita dapati pergerakan keluar masuk jemaah haji ke Masjidil Haram adalah teratur dan kita juga tidak nampak kesesakan yang teruk di dalam masjid. Alhamdulillah dengan itu memudahkan jemaah untuk melaksanakan umrah, contohnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Baru-baru ini, Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa individu yang menunaikan haji tanpa visa sah adalah perbuatan berdosa.

Mohd. Hisham berkata, langkah itu juga memberi peluang kepada jemaah yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadah haji dengan lebih tenang, mudah dan tanpa gangguan.

“TH juga mendapati kualiti pengurusan haji bertambah baik, urusan logistik, pengangkutan di sekitar ataupun trafik di sekitar Kota Mekah teratur dan tidak sesak, kita tidak nampak kesesakan seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Mengenai perkembangan pergerakan jemaah haji Malaysia, katanya, sebanyak 39 daripada 47 penerbangan telah mendarat di Madinah dan bermula esok bermulalah penerbangan dari KLIA, Sepang ke Jeddah.

“Setakat ini, kita sudah ada 11,396 jemaah di Tanah Suci di mana 5,253 jemaah berada di Madinah dan 6,143 lagi sudah berada di Mekah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN