PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai memanjat tingkap sebelum terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Puchong, Subang Jaya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan warga tempatan ditemukan dalam keadaan terlentang di tingkat lima bangunan berkenaan oleh pasukan keselamatan dan perubatan yang tiba di lokasi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, siasatan awal mendapati mangsa berada di rumah pengasuh ketika kejadian dan dipercayai memanjat tingkap kediaman terbabit yang tidak mempunyai jeriji keselamatan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
“Hasil siasatan juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ibu mangsa difahamkan sedang menjaga seorang lagi anak yang menjalani kuarantin manakala bapa mangsa bekerja ketika kejadian berlaku.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian terhadap kanak-kanak.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
Mohd. Fairus turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu. – UTUSAN