PASIR MAS: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun antara yang maut dalam kemalangan di tiga lokasi berasingan di daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, kejadian pertama di jalan Banggol Che Wan, Meranti itu mengorbankan seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun.
Katanya, menurut maklumat saksi kejadian, motosikal jenis yang ditunggang mangsa didapati telah hilang kawalan semasa mengambil selekoh lalu memasuki laluan lori.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa gagal menggelak lalu motosikalnya telah bergesel dengan lori tersebut. Akibatnya, mangsa meninggal dunia di lokasi.
“Kes kedua di Baroh Pial, Rantau Panjang pula mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak berusia tiga tahun. Mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tanah Merah selepas motosikal yang dinaiki bersama bapa dan dua lagi adik beradiknya yang lain dipercayai dirempuh oleh sebuah kereta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kama Azural memberitahu, bapa mangsa berusia 44 tahun bersama dua lagi anaknya yang mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Katanya, saringan ujian air kencing ke atas pemandu kereta yang berusia 54 tahun itu mendapati dia negatif dadah.
“Buat masa ini dia ditahan untuk membantu siasatan. Kejadian ketiga pada pukul 6.30 petang di kawasan perumahan Prima Lubok Jong yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan kereta jenis Perodua Kancil.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk ketiga-tiga kes ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN