Kami hanya kawan - Alya Iman nafi bercinta dengan Amir Ahnaf - Utusan Malaysia

Kami hanya kawan – Alya Iman nafi bercinta dengan Amir Ahnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Alya Iman menegaskan dia dan Amir Ahnaf tidak mempunyai sebarang ikatan istimewa seperti yang disangka ramai pihak.

Kata Alya, sebaliknya mereka hanyalah kawan rapat yang saling mengenali satu sama lain sejak beberapa tahun lalu.

“Yang boleh saya katakan, kami berkawan baik sahaja dan memang rapat antara satu dengan lain.

“Saya tak nafikan memang banyak terima pendapat orang lain yang mengatakan kami serasi bersama.

“Buat masa ini kami selesa berkawan sahaja. Tapi di masa akan datang kita tak tahu apa yang akan berlaku. Jodoh di tangan Tuhan,” katanya.

Alya berkata demikian selepas tayangan episod 14 dan 15 drama terbitan Viu Malaysia, Pabila Dia Tersenyum, semalam.

Turut hadir adalah barisan pelakon drama itu termasuk Amir Ahnaf, Adam Lee, Rushdi Ramli, Iqram Dinzly, Jay Iswazir dan ramai lagi.

Pada masa yang sama pemilik nama sebenar Nur Alya Iman Azmil itu juga menegaskan keakraban dia dan Amir bukan perkara yang sengaja diada-adakan untuk mempromosikan drama lakonan mereka.

“Sebelum ini pun kami pernah mencipta kandungan di media sosial bersama-sama sebab kami memang berkawan dan selesa dengan satu sama lain.

“Kami tak ada niat untuk ada-adakan kemesraan ini untuk publisiti murahan atau untuk mempromosikan drama ini,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, pelakon berusia 24 tahun ini mengakui mudah bekerjasama dengan Amir disebabkan hubungan baik yang lama tercipta antara mereka.

“Amir pelakon yang sentiasa berkongsi semangat dan idea ketika kami berlakon bersama.

“Dia banyak membantu, terutamanya dalam menjayakan babak akhir drama ini yang mana berat untuk kami berdua lakonkan.

“Sebenarnya mudah untuk kami mencipta keserasian sebab kami memang berkawan dan rapat,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN