Jurujual didakwa sembunyikan wang RM150,000

Jurujual didakwa sembunyikan wang RM150,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membantu menyembunyikan wang berjumlah RM150,000 milik seorang ahli perniagaan, dua bulan lalu.

Tertuduh, Low Chin Kiong, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membantu menyembunyikan wang milik Ng Yam Kee, 65, dengan memasukkan wang tersebut akaun bank milik tertuduh di sebuah rumah di Taman Sri Hartamas di sini, 20 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela, Dayalan Moorthy yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM8,000 atas alasan anak guamnya perlu menyara bapanya yang sudah tua.

“Anak guam saya hanya bekerja sebagai jurujual barangan percetakan sahaja dengan pendapatan RM2,700 sebulan. Tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang baik sejak hari pertama siasatan selain dia tidak mempunyai rekod jenayah lain,” kata peguam itu.

Mendengar kedua hujahan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 30 Jun untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN