ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memberi jaminan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru tidak akan kehilangan pajakan terhadap tanah kediaman mereka.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya berjanji tidak bersikap zalim atau mengambil hak rakyat termasuk melibatkan perkampungan tradisi Melayu di kawasan bandar.
“Status pajakan tanah bukan bentuk penafian, tetapi pegangan yang sah di sisi undang-undang. Ia tetap memberi hak milik penuh kepada pemilik mewariskan, menjual dan membuat pembangunan tertakluk kepada syarat.
“Buktinya, pembaharuan pajakan tanah akan dipermudah dan dipercepatkan. Ini bukan janji kosong kerana tujuh permohonan pembaharuan pajakan di Kampung Melayu Majidee telah diluluskan dan diserahkan,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap sehubungan itu meminta agar pemilik tanah di kawasan terlibat segera membuat permohonan pembaharuan pajakan.
“Tanah Rizab Melayu akan terus dilindungi, ia tidak akan dihilangkan dan tidak boleh dipindah milik kepada bangsa lain sebagaimana termaktub dalam Enakmen Rizab Melayu Johor.
“Kita juga sedang menggubal Rancangan Khas Kawasan (RKK) Perkampungan Tradisi Melayu Johor supaya kampung ini menjadi sebahagian pelan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) agar tidak terpinggir daripada arus kemajuan,” ujarnya.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya mengambil pendekatan seimbang, inklusif dan terancang untuk memastikan kampung tradisi ini tidak hanya kekal tetapi terus berkembang dalam landskap bandar yang moden dan dinamik.
“Kerajaan mengambil pendekatan seimbang iaitu mengekalkan pegangan pajakan sebagai rangka dasar guna tanah, namun dengan sokongan polisi yang jelas, tegas dan menyebelahi rakyat, khususnya komuniti Melayu bandar.
“Maju Johor bukan bermakna hapuskan kampung Melayu. Kita tidak mahu bandar tanpa akar, atau pembangunan yang melupakan warisan. Kita tidak akan biarkan kampung tradisi menjadi mangsa pembangunan.
“Sebaliknya ia akan dibangunkan dengan acuan kita sendiri sebagai kampung moden, berdaya saing, tetapi kekal dengan jiwa Melayunya,” katanya lagi.
April lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee berdepan dilema apabila permohonan menukar status pajakan 99 tahun tanah kediaman daripada Tanah Rizab Melayu (TRM) kepada hak milik kekal tiada maklum balas. – UTUSAN