ISKANDAR PUTERI: Setiap seorang pengamal media di Johor yang yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ) bakal menerima pemberian tunai sebanyak RM1,000.
Berita gembira itu selepas kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 kepada pengamal media di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif khas kepada pengamal media itu merupakan sebahagian daripada 23 komponen di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diperuntukkan lebih RM217 juta.
“BKJ memanfaatkan lebih 330,000 rakyat daripada pelbagai lapisan termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.
“Langkah itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ‘Setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat’ serta semangat Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan BKJ mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat selaras dengan agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan dan keadilan sosial.
Antara bantuan utama yang diumumkan adalah BKJ kepada anak yatim negeri Johor dengan pemberian RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) YANG memanfaatkan 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta.
Selain itu, katanya, BKJ Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin iaitu RM2,000 seorang untuk 9,714 penerima dengan peruntukan RM19.43 juta.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM233.149 juta dalam usaha membasmi kemiskinan tegar.
Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu dilaksanakan melalui teras ketiga Belanjawan Johor 2026 iaitu Jaringan Keselamatan Sosial melalui lapan inisiatif.
Katanya, ia termasuk, Bantuan Kewangan Bulanan Dan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 24.2 juta yang memanfaatkan 193,000 orang. – UTUSAN










