TELUK INTAN: Dua daripada sembilan jenazah mangsa nahas trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pagi tadi selesai menjalani proses bedah siasat.
Jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dan Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38 dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada pukul 9.45 malam.
Proses bedah siasat yang bermula pukul 2.30 petang itu melibatkan tiga doktor pakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Jenazah anggota beragama Islam disembahyangkan di Surau Ar-Rahman sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.
Lapan daripada sembilan mangsa dikebumikan di Perak dan seorang di Lunas, Kedah.
Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, dikebumikan di Meru, Ipoh manakala Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41, di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau.
Jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, dikebumikan di Kampung Sungai Itek, Gopeng; Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, di Masjid Simpang, Taiping dan Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, di Kampung Parit Teluk Piai, Kuala Kurau.
Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dikebumikan di Tanah Perkubutan Islam Kampung Kepayang, Ipoh dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, Lunas Kedah.
Jasad mendiang Sarjan S. Perumal, 44, akan dibawa ke Krematorium Buntong manakala Koperal Nurit Pandak, 34, pula dibawa ke Kampung Batu Berangkai, Kampar. – UTUSAN