MEKAH: Jemaah haji Malaysia diminta mengelak untuk mandi secara kerap sebaliknya menggunakan pelembap kulit bagi mengelakkan penyakit kulit ataupun gatal-gatal akibat cuaca kering dan panas di Tanah Suci ketika ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, pihak Tabung Haji (TH) mendapati ramai jemaah Malaysia menghadapi simptom berkenaan selepas kerap mandi kerana faktor cuaca di sini.
“Kita sarankan supaya mereka menggunakan pelembab kulit terutamanya kepada penghidap diabetik kerana apabila mereka menggaru, ia boleh menyebabkan luka.
“Sehubungan itu, kita berharap jemaah haji kerap minum air, mengambil minuman yang secukupnya dan tidak mandi terlalu kerap,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihak TH juga berharap supaya jemaah yang berada dalam kapal terbang selama sembilan jam perlu membuat sedikit latihan atau senaman ringan supaya darah dapat berjalan dengan baik.
“Apabila tiba di sini mereka berisiko terkena deep vein thrombosis di mana darah membeku yang akan menyebabkan organ-organ dalam badan terkesan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Hairul Izwan Abdul Rahman berkata, setakat ini klinik TH di Tanah Suci telah menerima sebanyak 2,059 pesakit luar dengan simptom sakit kulit tersebut merupakan penyakit kedua tertinggi diterima.
“Terdapat lima penyakit utama dikesan dengan tertinggi adalah berkait saluran pernafasan seperti batuk, kedua penyakit kulit diikuti sakit otot, sakit tekak dan sakit perut.
“Jadi kita nasihatkan jemaah untuk memakai pelitup muka kalau tidak sihat bagi mengelakkan jangkitan dalam bilik jemaah dan orang lain,” tambahnya. – UTUSAN










