ALOR SETAR: Perebutan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR jika berlaku kali ini, bukan tiket mereka yang terpilih untuk menjadi Presiden parti itu pada masa hadapan.
Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, sebaliknya keutamaan mengisi kedudukan nombor dua dalam parti itu ketika ini adalah sebagai pendukung utama kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi PKR.
“Keperluan utama ketika ini bukanlah untuk memilih bakal Presiden masa depan, sebaliknya untuk mencari seorang timbalan yang komited serta bersedia mendukung 100 peratus kepemimpinan Presiden.
“Kita beri peluang kepada anggota parti untuk menentukan siapa yang terbaik ketika ini dari segi kemampuan bekerja dan keupayaan membantu Presiden melaksanakan agenda Madani,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemilihan PKR dijangka menjadi medan penting bagi memperkukuh saf kepimpinan parti itu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Antara yang dikatakan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden adalah penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli di samping dua nama lain iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu Zamri berkata, semua pemimpin itu dilihat sangat layak untuk menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal seterusnya.
“Anggota Keadilan yang kini berjumlah hampir 30,000 orang akan menjadi penentu siapa yang paling layak memegang jawatan nombor dua dalam parti,” katanya.
Katanya, pemilihan melibatkan lebih seorang calon untuk jawatan itu juga sebagai satu amalan sihat dalam sistem demokrasi, sekali gus memberi ruang kepada ahli membuat pilihan terbaik demi masa depan parti dan negara.
Menurutnya, tiada sebarang masalah sekiranya wujud persaingan sihat dalam pemilihan akan datang, malah ia mencerminkan kematangan dan keterbukaan dalam budaya politik PKR yang selama ini memperjuangkan reformasi. – UTUSAN










