MPT Bersatu cadang Hamzah pangku jawatan Presiden

MPT Bersatu cadang Hamzah pangku jawatan Presiden, selesai kemelut PN

HAMZAH Zainudin (kiri) dan Muhyiddin Yassin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa melepaskan jawatannya dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih peranan tersebut.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin berkata, cadangan itu wajar susulan kemelut dalaman yang sedang melanda Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), selaras dengan pandangan beberapa ahli MPT sebelum ini.

Katanya, MPT Bersatu sebelum ini menafikan bahawa isu itu antara perkara dibincangkan Muhyiddin bersama pimpinan Pas, selain pernah dibawa atau dipersetujui dalam mesyuarat rasmi MPT termasuk cadangan memansuhkan jawatan Pengerusi PN.

“Kenyataan dan tindakan unilateral tersebut menimbulkan kekeliruan politik, menjejaskan kepercayaan dalaman parti serta berpotensi merenggangkan hubungan strategik dalam gagasan PN. Perkara itu turut memberi kesan terhadap kestabilan gabungan yang sepatutnya dibina atas asas musyawarah dan keputusan kolektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yunus yang juga Ketua Bersatu Bahagian Libaran berkata, kemelut dalaman yang sedang dihadapi PN ketika ini menuntut kepimpinan yang matang, berwibawa dan berkeupayaan menyatukan semua komponen gabungan secara berprinsip serta berdisiplin.

Katanya, Hamzah dilihat sebagai tokoh paling sesuai untuk memangku jawatan Presiden kerana kewibawaan, pengalaman dan kebijaksanaan politik yang dimiliki.

“Ia bagi menangani konflik dalaman PN, memperkukuh struktur kepimpinan Bersatu serta memperbaiki hubungan antara parti-parti komponen dalam gabungan tersebut.

“Hamzah juga mempunyai pengalaman luas dalam menggalas tanggungjawab kepimpinan Bersatu, selain berupaya membina semula kepercayaan dalaman parti dan memulihkan hubungan strategik dalam PN secara lebih tersusun dan berteraskan kestabilan jangka panjang,” katanya.

Tambah Yunus, Muhyiddin wajar memberi tumpuan kepada urusan perundangan yang sedang dihadapi termasuk kes berkaitan Jana Wibawa yang dijadualkan untuk disebut semula pada Mac ini.

Katanya, langkah itu penting supaya urusan kepimpinan parti dan pengurusan gabungan politik tidak terus dibebani kontroversi serta polemik yang berpanjangan.

“PN perlu dibina sebagai satu gagasan politik yang utuh dan diyakini rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bukannya sebuah gabungan yang terus dibelenggu konflik kepimpinan, percanggahan kenyataan serta krisis kepercayaan dalaman.

“Bersatu dan PN hanya akan kekal relevan sebagai alternatif kepimpinan negara sekiranya kepemimpinan gabungan berpaksikan kepada integriti, hala tuju yang jelas dan keputusan kolektif, bukannya politik persepsi serta tindakan unilateral,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN