BUTTERWORTH: Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak membawa anak mereka bersiar-siar sepanjang tempoh inkubasi atau kuarantin daripada penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, sebaliknya, tempoh itu perlu diguna dengan sebaiknya untuk memantau perkembangan kesihatan anak masing-masing.
“Ini penting sebab mungkin ada dalam kalangan anak-anak kita telah dijangkiti HFMD, namun simptomnya masih belum betul-betul kelihatan lagi.
“Justeru, sebaiknya sepanjang tempoh inkubasi itu mereka (anak-anak yang berisiko) perlu diberi perhatian dengan sewajarnya,” katanya kepada pemberita ketika hadir merasmikan Program I Fit Eat Right (IFitER) anjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, hari ini.
Untuk rekod, sebanyak 8,811 kes berkaitan HFMD direkodkan di Pulau Pinang sepanjang tahun ini iaitu sehingga 10 Mei yang lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 7,676 kes atau 676.3 peratus berbanding hanya 1,135 kes yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menggiatkan pelbagai usaha dan inisiatif termasuk mengaktifkan bilik gerakan awal sejak awal tahun ini bagi menangani penularan jangkitan HFMD.
“Kita juga telah mengadakan banyak sesi libat urus termasuk sesi bersama pengusaha taska dan tabika untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran mereka khususnya dari segi tahap kebersihan premis.
“Jadi, walaupun masih ada peningkatan dari segi kes semasa, namun, kita berharap agar situasi ini dapat dikawal dalam masa yang terdekat,” ujar beliau. – UTUSAN