Deklarasi Balfour punca Palestin dijajah sehingga kini

Deklarasi Balfour punca Palestin dijajah sehingga kini

SEMUA pihak harus memainkan peranan agar rakyat Palestin mendapat keadilan sewajarnya dan hidup merdeka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK Palestin-Israel merupakan konflik yang tiada titik penghujung. Konflik ini bermula sejak wilayah Palestin di duduki oleh pendatang Israel dan mereka mengambil hak penduduk asal secara paksa. Hal ini memberi kesan besar terhadap Palestin mahupun dunia Arab secara umumnya.

Peperangan yang terjadi antara pejuang Palestin dan kumpulan militer Israel tidak pernah berhenti sejak awal konflik sehingga sekarang.

Bertitik tolak dari konflik Palestin-Israel terdapat deklarasi yang tidak lari dari dari sejarah moden iaitu Deklarasi Balfour, kemunculan deklarasi ini mempunyai perkaitan dengan pelbagai peristiwa melibatkan negara-negara Inggeris dan Arab. Deklarasi Balfour mempunyai naratif dengan sejarah Palestin kerana deklarasi ini merupakan titik rasmi berlakunya penubuhan negara Israel, pengusiran terhadap rakyat Palestin secara besar-besaran dan pengabaian hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka sendiri.

Antara perjanjian yang menjelaskan pembahagian wilayah ialah Perjanjian Sykes-Picot pada 1916 dan Perjanjian Versailles pada 1919. Menerusi persidangan San Remo 25 April 1920 memutuskan Perancis mempunyai kuasa mandat ke atas Syria dan Lubnan manakala British ke atas Palestin dan Iraq.

Harapan Yahudi bagi membina negara mereka di Palestin disokong British melalui Deklarasi Balfour 1917 sewaktu Perang Dunia pertama masih berlangsung. Pada 18 Julai 1917 Lord Rothschild seorang pemimpin Yahudi mengutuskan surat kepada Setiausaha Luar British, Arthur James Balfour bagi menegaskan hasrat mereka menubuhkan tanah air untuk bangsa Yahudi.

Deklarasi Balfour merupakan tindakan bagi mewujudkan kemerdekaan bagi bangsa Yahudi di Palestin. British memberikan sokongan untuk mereka membina negara di Palestin apabila Suruhanjaya Zionis ke Palestin pada 1918 untuk melakukan tinjauan terhadap koloni Yahudi di sana. Objektif penubuhan suruhanjaya ini adalah bagi menghubungkan kerajaan British dengan pelarian Yahudi agar mereka mudah memberikan bantuan kepada masyarakat Yahudi di Palestin.

Melalui deklarasi ini British tidak membiarkan sedikit pun peluang tidak digunakan bagi memastikan hasrat mereka tercapai. Pengisytiharan Balfour membenarkan penghijrahan bangsa Yahudi secara beramai-ramai ke Palestin dan tidak mampu disekat oleh penduduk Palestin pada ketika itu. Penduduk Palestin pada ketika itu merasa tertekan dan mula berlaku pergolakan, deklarasi Balfour dianggap sebagai punca masalah tekanan dan beban bagi mereka.

Hubungan antara Deklarasi Balfour dan konflik Palestin-Israel yang berterusan pada hari ini mempunyai perkaitan yang jelas kerana deklarasi ini menjadi asas sejarah dan ideologi kepada pembentukan negara Israel dan penjajahan berpanjangan terhadap tanah Palestin hingga ke hari ini.

Kemunculan deklarasi ini sebagai menyatakan sokongan kepada penubuhan ‘tanah air nasional bagi orang Yahudi’ sekali gus mengabaikan hak politik majoriti penduduk asal, bangsa Arab di Palestin. Selain itu deklarasi ini menyebabkan penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi ke Palestin yang membawa perubahan struktur demografi secara paksa.

Kesannya pada dunia hari ini membawa bencana dan mimpi ngeri kepada penduduk Palestin termasuk isu Baitulmaqdis, penyekatan sempadan dan juga penubuhan penempatan haram bangsa Yahudi.

Deklarasi ini menjadi landasan kepada ketidakadilan struktur yang masih belum diperbetulkan oleh masyarakat antarabangsa.

Kesimpulannya, konflik Palestin-Israel yang berpanjangan dan masih tidak menemui penghujung bukan sahaja berpunca daripada perbezaan agama atau etnik tetapi ia adalah hasil campur tangan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menentukan sejarah yang tidak adil melalui Deklarasi Balfour.-UTUSAN

NUR ZULAIKHA HAIRUNAZRI
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×