KAMPUNG Kuala Sat, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang merupakan destinasi pelancongan yang menarik. Ramai pelancong yang datang sama ada daripada dalam atau luar negara untuk merasai suasana alam semula jadi yang masih belum tercemar.
Jabatan kerajaan dan swasta juga sering mengadakan aktiviti riadah dan bina jati diri di sini. Banyak kemudahan rumah inap dan tempat makan untuk pengunjung. Pelbagai pakej pelancongan diusahakan penduduk setempat secara teratur.
Kemudahan jalan raya bertar sejauh 100 kilometer (km) dari bandar Jerantut ke Kampung Kuala Sat memakan masa dua jam perjalanan memberi keselesaan kepada pengunjung.
Malangnya jalan masuk dari jalan raya utama ke Kampung Kuala Sat masih belum berturap tar. Jalan batu-batu tabur bercampur tanah menyebabkan kesukaran kepada pengunjung berkereta dan bermotosikal memasuki kawasan tersebut. Jalannya berdebu dan licin pada musim hujan.
Jalan raya tersebut bukan hanya untuk pelancong sahaja. Ia juga digunakan warga pendidik dan pelajar sekolah.
Besarlah harapan agar pihak kerajaan mengambil perhatian serius keadaan jalan raya tersebut. Negara kita sudah lama merdeka.
Kami percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin dengan kesusahan rakyat dapat mengambil perhatian dan tindakan segera.-UTUSAN
RAKYAT MARHAEN
Jerantut, Pahang










