Isu Petronas-Sarawak: PM arah tangguh tindakan, akan

Isu Petronas-Sarawak: PM arah tangguh tindakan, akan bertemu Abang Johari 

PERTEMUAN Anwar Ibrahim bersama Abang Johari baru-baru ini - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pihak untuk menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan apa juga kenyataan berhubung kemelut Petronas-Petros buat sementara waktu.

Perdana Menteri berkata, beliau akan segera mengadakan perbincangan lanjut dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg untuk memuktamadkan beberapa prinsip yang telah disepakati sebelum ini.

“Saya telah berkesempatan bercakap dengan Premier Sarawak, (Tan Sri) Abang Johari Tun Openg semalam mengenai urusan Petronas-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini. 

“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom (UK) kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebarang tindakan atau kenyataan daripada mana-mana pihak harus ditangguhkan atas dasar kepentingan bersama.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia me­laporkan Kerajaan Nege­ri Sarawak menghantar surat tun­­tutan kepada anak syarikat Pet­ronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan me­lakukan pelanggaran atau ke­tidakpa­tuhan terhadap Seksyen 7 (e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Mi­ri, Sarawak.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Utili­ti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi seca­ra haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Notis itu kemudiannya dijawab PETRONAS dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai hak dan kuasa secara statutori untuk menjalankan sebarang aktiviti atau operasi berkaitan petroleum di Sarawak.

Menurut Petronas, hak dan kuasa itu termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang membolehkan anak syarikatnya, PCSB mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, terma­suk di Sarawak.

“Kami menghormati aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak, namun Petronas juga mempunyai tanggungjawab untuk menegak­kan PDA 1974 dan menjaga ke­pentingan negara.

“Petronas akan terus menja­linkan kerjasama secara membi­na serta bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Keraja­an Negeri Sarawak dan Petros dalam meneroka penyusunan masa depan.

“Ia penting bagi memastikan kejelasan daripada segi peraturan dan kesinambungan operasi demi manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya