PETALING JAYA: Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) melaksanakan Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara Siri 1/25 dalam satu majlis penuh adat istiadat ketenteraan di perkarangan Dataran Pintu Masuk Utama, Istana Negara, di sini hari ini.
Istiadat yang menjadi simbolik pertukaran tugas antara kawalan lama dan kawalan baharu itu berlangsung dengan penuh disiplin sekali gus memperlihatkan keutuhan kawalan keselamatan di pintu gerbang institusi tertinggi negara.
Majlis berprestij itu turut disaksikan oleh Pegawai Memerintah 1 RAMD, Kolonel Mohd. Fuad Md. Ghazali dan Pegawai Memerintah 21 Skuadron Istiadat Berkuda, Leftenan Kolonel Shahrul Azudin Maulod yang bertindak selaku pegawai penerima tabik hormat.
Turut hadir, Sarjan Mejar Rejimen (SMR) dari kedua-dua pasukan.
Istiadat melibatkan dua pasukan kawalan, masing-masing terdiri daripada empat pegawai dan 80 anggota lain-lain pangkat (LLP).
Kawalan lama turut diketuai oleh Kapten Muhammad Hazwan Mohd. Zain, manakala kawalan baharu diketuai oleh Kapten Nor Saifullah Mahmad@Mohammed.
Perarakan majlis itu turut diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD) bersama Platun Pancaragam 1 RAMD, mempersembahkan irama patriotik dan tradisional. – UTUSAN