Ingat janji kita- ucapan khas Norman Hakim buat Memey, Abby Abadi - Utusan Malaysia

Ingat janji kita- ucapan khas Norman Hakim buat Memey, Abby Abadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Norman Hakim,49, meluahkan penghargaan kepada dua wanita istimewa dalam hidupnya sempena sambutan Hari Ibu pada Ahad.

Menerusi hantaran di Instagram, Norman menyampaikan ucapan penghargaan kepada isterinya, Memey Suhaiza dan bekas isteri, Abby Abadi yang telah melahirkan serta membesarkan enam orang anaknya.

“Selamat Hari Ibu buat dua wanita hebat yang telah melahirkan dan membesarkan enam permata hidup saya.

“Kepada isteri dan mantan isteriku, ibu-ibu kepada anak-anakku, saya menghargai setiap pengorbanan, kasih sayang dan doa kalian yang tidak pernah putus untuk anak-anak kita,” katanya.

Tambah pelakon Gerak Khas itu, walau diuji pelbagai cabaran kehidupan, mereka tetap bersatu demi membesarkan anak-anak dengan sebaiknya.

“Walau dilanda gempa bumi, taufan dan badai, ingat janji-janji kita yang kita akan sentiasa bersatu dalam satu misi iaitu menjadi ibu dan bapa terbaik untuk zuriat kita,” katanya.

Norman turut menganggap isteri dan bekas isterinya sebagai isteri luar biasa serta berharap agar kasih sayang mereka terus menjadi cahaya dalam membimbing anak-anak mereka membentuk masa depan yang cerah.

“Sekali lagi, terima kasih kerana menjadi ibu yang luar biasa.

“Semoga kasih kalian terus menjadi cahaya yang membimbing anak-anak menuju masa depan yang penuh rahmat dan kebaikan, insya-Allah,” katanya.

Perkongsian ini dibuat ketika Norman menghadiri Konsert GenKRU, malam ketiga bersama ahli keluarga.

Sebelum ini, Norman pernah mendirikan rumah tangga bersama Abby Abadi dan dikurniakan tiga anak iaitu Mohd Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim, namun akhirnya bercerai pada 2008.

Norman kemudian berkahwin dengan pelakon, Memey pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN