KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memupuk bakat sukan di peringkat akar umbi melalui pelbagai inisiatif pembangunan atlet muda di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, usaha tersebut dijalankan dengan kerjasama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Sukan Negeri serta Persatuan Sukan Negeri (PSN).
Katanya, sebanyak 35,446 atlet sedang menjalani latihan di 931 pusat latihan di seluruh negara di bawah empat program utama iaitu Program Bakat, Program Pelapis Negeri, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas.
“KBS turut menyediakan inisiatif bantuan kewangan melalui Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Geran Padanan Sukan (GPS) yang bertujuan menyokong penganjuran program-program sukan di peringkat akar umbi, daerah, negeri dan antarabangsa.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah merupakan harapan KBS dalam memperkukuhkan ekosistem pembangunan sukan negara, seterus memastikan bakat-bakat muda terus digilap dan melahirkan barisan atlet pelapis yang berkualiti,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas persiapan menghadapi temasya besar akan datang, Adam berkata, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) sedang menyelaras latihan 20 atlet elit negara ke arah merealisasikan pingat emas pertama Olimpik.
Katanya, projek khas ASIAKOM juga sebagai persediaan ke Sukan Asia 2026 di Nagoya dan
Sukan Komanwel 2026 di Glasgow melibatkan 39 atlet dari sembilan jenis sukan.
“Beberapa sukan juga telah dikenal pasti sebagai bidang yang berpotensi untuk menyumbang pingat pada temasya utama yang akan berlangsung pada tahun 2026.
“Pencapaian luar biasa ini mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia sedang berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah di Sukan Olimpik 2028 serta menggapai kejayaan gemilang di Sukan Asia dan Komanwel 2026,” katanya. – UTUSAN









