SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura mengumumkan penahanan tiga remaja lelaki didakwa merancang serangan berasingan menggunakan senjata api, pisau dan bom, sambil memberi amaran mengenai ancaman radikalisasi golongan muda di negara kota yang terkenal dengan tahap keselamatan yang ketat itu.
Ketiga-tiga remaja berkenaan, yang ditahan antara April hingga Jun lalu, didakwa terjerumus ke dalam fahaman radikal menerusi internet sebelum mula mengikuti fahaman ekstremis berunsur keganasan, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).
Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.
Menurut ISD, salah seorang daripada mereka ialah seorang pelajar berusia 14 tahun yang didakwa merancang serangan menggunakan pisau di sekolahnya.
Remaja itu, yang dipengaruhi ideologi kumpulan IS didakwa bercadang menyasarkan guru dan rakan sekolah bukan Islam serta menyiarkan serangan itu secara langsung di internet.
ISD berkata, remaja itu pada mulanya cuba mendapatkan senjata api, namun membatalkan rancangan tersebut kerana undang-undang senjata api Singapura yang ketat. ]
Dia juga pernah mempertimbangkan untuk membuat bom tetapi tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Menurut agensi keselamatan itu, remaja berkenaan mengagumi pelaku serangan tembakan beramai-ramai dan meminati permainan video tembak-menembak di platform dalam talian Roblox.
Dalam kes berasingan, seorang pelajar institusi pengajian tinggi berusia 19 tahun didakwa merancang serangan menggunakan pisau terhadap anggota tentera di sebuah pangkalan udara serta pelajar LGBTQ di institusinya.
Sementara itu, suspek ketiga, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, didakwa berada pada peringkat awal merancang serangan menggunakan bom, menurut ISD.
“Walaupun ketiga-tiga kes ini tidak berkaitan antara satu sama lain, mereka semua menjadi radikal dengan sendiri menerusi internet hasil pengaruh ideologi ekstremis ganas dan telah membuat persiapan untuk melancarkan serangan di Singapura.
“Ketiga-tiga kes ini membuktikan betapa seriusnya ancaman radikalisasi dalam kalangan belia di Singapura,” kata ISD.
Tahun lalu, polis Singapura turut menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang didakwa merancang menyiarkan secara langsung serangan ke atas sebuah masjid di negara itu menggunakan senjata api buatan sendiri, pisau dan bom api.
Laporan kerajaan mengenai ancaman keganasan yang diterbitkan pada 2024 menyifatkan radikalisasi golongan muda sebagai kebimbangan utama, dengan 13 daripada 52 kes individu yang dikenal pasti sebagai radikal secara sendiri oleh ISD ketika itu melibatkan mereka yang berusia 20 tahun atau lebih muda.-AFP










