Dua wanita menyamar wakil persatuan bekas polis ditahan

Dua wanita menyamar wakil persatuan bekas polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua wanita tempatan ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai wakil persatuan bekas polis bagi tujuan mendapatkan sumbangan kewangan daripada orang awam di Batu 39, Kuala Lumpur menghala ke Tanjung Malim pada Sabtu lalu.

Polis menerima laporan kira-kira pukul 5.54 petang semalam daripada seorang lelaki tempatan yang menjalankan perniagaan besi buruk di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pengadu memaklumkan telah didatangi dua individu wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah persatuan bekas polis dan meminta sumbangan sebanyak RM1,000.

“Sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah menahan dua wanita tempatan berusia 23 dan 37 tahun pada hari sama.

“Polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta Perodua Myvi berwarna perak, seutas kunci kenderaan dan sembilan fail bertajuk Persatuan Kebajikan Harapan Insan Miskin, sebuah beg merah jambu, dua utas rantai perak serta wang tunai berjumlah RM550,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah manakala ujian air kencing ke atas mereka didapati negatif.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret, Kuala Kubu Bharu hari ini bagi permohonan reman,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN