PRN: UPKO laksana jelajah ‘Sabah First’, perjelas pendirian parti

PRN: UPKO laksana jelajah ‘Sabah First’, perjelas pendirian parti

Peter Jr. Naintin. - GAMBAR/IHSAN UPKO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan melancarkan jelajah ‘Sabah First’ yang akan diselaraskan bersama konvensyen parti peringkat Bahagian sebagai memperkukuh gerak kerja dan memperjelas pendirian parti kepada akar umbi.

Ketua Penerangan UPKO, Dr. Peter Jr. Naintin berkata, cadangan pelaksanaan jelajah tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO dijadual bersidang esok.

Beliau berkata, jelajah itu akan memberi tumpuan kepada penjelasan mendalam berhubung pendirian parti terhadap keputusan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini, yang mengiktiraf hak pemberian 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“UPKO bukan sekadar menghormati, malah menyambut dengan penuh semangat keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi itu yang menegaskan agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sabah seperti yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peter berkata, kepimpinan tertinggi dan seluruh ahli UPKO berdiri teguh menyokong Presiden parti, Datuk Ewon Benedick, yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan dalam Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Pendirian ini bukan retorik. Kami teguh bersama Presiden kami, sedia mengambil langkah berani demi mempertahankan hak Sabah,” katanya.

Menurut beliau, jelajah ‘Sabah First’ juga akan menjadi platform bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“UPKO akan menyertai PRN Sabah dengan semangat ‘Sabah First’ yang teracu dalam perlembagaan parti berteraskan perjuangan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menuntut pelaksanaan sepenuhnya hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Peter menambah, langkah itu akan menyatukan semula ahli dan penyokong parti serta memperkukuh hala tuju UPKO sebagai wadah politik yang konsisten memperjuangkan kepentingan dan masa depan rakyat Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN