PETALING JAYA: Pelakon, Imran Aqil memaklumkan isterinya, Dahlia Rizal telah selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka, semalam.
Turut meluahkan rasa bersyukur, Imran berkata mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan yang dinamakan sebagai Yusra.
“Alhamdulillah, memperkenalkan anak perempuan kami, Yusra,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam hantaran sama, Imran turut memaklumkan isterinya yang juga pempengaruh itu telah melahirkan permata hati mereka secara pembedahan Czer.
Terdahulu, Imran turut memuat naik sebuah perkongsian memohon orang ramai bagi mendoakan agar urusan isterinya untuk bersalin dipermudahkan.
Dalam masa sama, Imran turut meluahkan rasa kagum dan terharu terhadap pengorbanan para ibu yang sanggup bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat.
“Hari ini aku temani isteriku, menghadapi satu lagi fasa ujian sebagai seorang ibu. Aku saksikan sendiri kesakitannya dari mula mengandung, sampai ke saat dia ambil suntikan epidural hari ini.
“Ada yang cakap ini ‘cheat code’ untuk kurangkan sakit bersalin tapi aku sendiri terkejut tengok jarumnya. Tak ada yang ‘cheat’ bila bercakap tentang perjuangan seorang ibu. Aku sangat terkesan dan sangat kagum.
“Isteriku minta maaf pada semua, andai ada hati yang terguris sepanjang dia mengandung. Betullah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. hari ini, aku lebih faham maksudnya,” katanya.
Untuk info, Imran dan Dahlia telah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2023.-UTUSAN