MELAKA: Ibu kepada kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini, hari ini menyangka semua anaknya berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran, namun anak keempatnya tertinggal dan ditemukan maut dalam bilik.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa maut dalam bilik ketiga rumah berkenaan dipercayai akibat terperangkap ketika api marak.
Siti Zaharah Borhan, 43, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu selepas mengambil anak-anak pulang dari sekolah dan tidak menyedari bahawa mangsa bermain seorang diri dalam bilik.
“Saya cuma terlelap sekejap dan bila tersedar, api dah marak dari bilik ketiga. Saya terus capai semua anak dan lari keluar rumah kerana ingatkan anak keempat pun ikut sama.
“Biasanya dia memang akan bermain bersama adik-beradik lain, tak sangka hari ini dia main seorang diri dalam bilik,” katanya sebak ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki maut akibat terperangkap dalam kebakaran di PPR Krubong.
Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas api marak di rumah yang terletak di tingkat enam.
Tambah Siti Zaharah, suaminya tiada di rumah ketika insiden kerana keluar bekerja.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Shahrom Laji berkata, nahas dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa bermain pemetik api, hasil maklumat awal diterima daripada ibunya.
“Daripada siasatan awal, ibu mangsa memaklumkan anaknya ada bermain dengan pemetik api, namun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk penggunaan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.
“Mangsa merupakan anak keempat daripada lima beradik yang berusia antara satu hingga 13 tahun dan ditemukan dalam keadaan terbaring serta melecur.
“Punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat. – UTUSAN