TELUK INTAN: Majikan kepada pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, di sini Selasa lalu memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa nahas yang mengorbankan sembilan anggota FRU.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ravi, 58, mengakui berasa sedih atas apa yang berlaku terutama terhadap mangsa dan keluarga serta waris mereka menghadapi saat sukar kehilangan ahli keluarga termasuk yang mengalami kecederaan.
Menurutnya, dia sama sekali tidak lepas tangan terhadap kejadian tersebut dan sentiasa memikirkan perasaan dan masa depan ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.
“Sudah tentu saya rasa sebak, saya sentiasa fikir bagaimana perasaan mereka. Mereka sudah hilang ahli keluarga, hilang suami, bagaimana kehidupan mereka. Apabila ketua keluarga sudah tiada, sudah tentu hidup mereka susah. Saya dapat rasakan semua itu.
“Bagi pihak syarikat, kami minta maaf kepada keluarga mangsa, saya juga ucapkan takziah kepada mereka.
“Kalau boleh saya nak jumpa setiap keluarga mangsa, saya hendak melawat mereka. Saya nak zahirkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku. Saya minta izin untuk bertemu mereka, itu permintaan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.54 pagi Selasa lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Mereka yang terbunuh ialah Sarjan S. Perumal, 44; Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46; Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit ak Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Mengenai kemalangan tempoh hari, dia enggan mengulas kejadian itu sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis melakukan siasatan dan mahkamah untuk menentukan keputusan.
“Kalau mengenai kemalangan, saya tidak mahu komen siapa salah siapa yang betul. kita tunggu (keputusan) mahkamah. Saya terima apa sahaja keputusan mahkamah,” katanya.
Ravi memberitahu, dia telah memberi keterangan kepada pihak polis hari kejadian dan dia juga sudah pergi ke lokasi kemalangan.
“Semasa berada di lokasi kejadian, pihak polis menghubungi saya, jadi saya terus ke balai polis. Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku di lokasi kemalangan,” katanya.
Mengenai lori yang terlibat dalam kemalangan itu, Ravi berkata, lorinya mempunyai dokumen lengkap dan baru sahaja menjalani pemeriksaan Puspakom sebulan lalu.
Mengenai pemandu yang terlibat, Ravi berkata, lelaki itu baru bekerja sebulan setengah.
“Dia (pemandu) datang meminta kerja tapi saya kata saya hendak buat pemeriksaan lori di Puspakom dahulu sebab pada masa itu lori tiada cukai jalan.
“Bulan lalu saya ke Puspakom dan pemeriksaan lori diluluskan. Selepas itu saya perbaharui cukai cukai jalan.
“Dia mula bekerja empat atau lima hari sebelum Hari Raya, selepas itu dia cuti raya. Sejak Jumaat hingga hari Isnin, lori tidak digunakan mengangkut batu dan pada Selasa baru dia memandu semula sehinggalah berlaku kemalangan,” katanya. – UTUSAN











