HSJ jadi pusat rujukan kardiologi di utara

HSJ jadi pusat rujukan kardiologi di utara

DZULKEFLY Ahmad (tiga dari kiri) dan Alexander Nanta Linggi (empat dari kanan) ketika meninjau kemudahan perubatan yang terdapat di blok tambahan 10 tingkat Hospital Seberang Jaya (HSJ) di Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pengoperasian blok tambahan setinggi 10 tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan terkini mampu memperkukuhkan status Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebagai hospital rujukan utama di zon utara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dengan siapnya blok tambahan yang akan beroperasi secara berperingkat mulai Isnin ini, kapasiti keseluruhan kemudahan di HSJ juga kini meningkat kepada 729 katil dan 11 dewan bedah.

Beliau berkata, fasiliti baharu yang terdapat di blok tambahan itu turut membolehkanpengoperasian perkhidmatan subkepakaran dalam bidang Otorinolaringologi (ENT), Kardiologi Pediatrik dan Perubatan Rehabilitasi dilaksanakan.

“Malah, saya yakin hospital ini juga akan menjadi pusat rujukan zon utara bagi bidang Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik sekaligus mengurangkan keperluan rujukan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selain mempercepatkan akses rawatan pakar untuk rakyat setempat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan 10 Tingkat HSJ yang turut dihadiri oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini semalam.

Projek Blok Tambahan 10 Tingkat HSJ yang bernilai RM371 juta mengikut kontrak asal itu mula dibangunkan pada 16 Mei 2016, namun, tertangguh atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan sebelum menerima sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 12 April yang lalu.

Dalam pada itu, Dzulkefly memberitahu, meskipun projek pembinaan blok tambahan itu mengambil masa yang agak panjang untuk disiapkan akibat faktor-faktor di luar kawalan kontraktor, namun, situasi itu tetap menjadi satu realiti yang perlu dihadapi serta diteliti secara serius.

“Agar apa? Agar projek-projek yang akan datang dapat disiapkan mengikut jadual, mengikut bajet serta mematuhi piawaian kualiti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) itu sendiri,” kata beliau.

Sementara itu, Alexander berkata, sebanyak 66 projek bina baharu yang melibatkan Kementerian Kesihatan di seluruh negara kini sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM2.4 bilion.

Beliau berkata, selain itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi JKR khususnya Cawangan Kerja Kesihatan juga telah diberi mandat untuk melaksanakan sejumlah 170 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan kos berjumlah RM16.47 bilion.

“Daripada jumlah itu pula, sebanyak 62 projek di bawah fasa prapembinaaan (perancangan) dengan anggaran kos sebanyak RM4.05 bilion, 64 projek di bawah fasa pembinaan (bernilai RM7.78 bilion) serta 44 projek pasca pembinaan (siap) dengan kos RM4.54 bilion,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN