BAGAN SERAI: Seorang wanita tidak menyangka kata-kata terakhir anaknya yang tidak akan berjumpa dengannya menjadi kenyataan apabila lelaki itu maut dalam kemalangan jalan raya di sini kelmarin.
Mohamad Iman Haikal Azhar, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan maut apabila motosikalnya terlibat kemalangan dengan sebuah van di Sungai Kepar di sini ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 pagi.
Ibu mangsa, Zuraidah Idris, 53, berkata, sebelum anaknya keluar rumah, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik tersenyum dan bergurau seperti biasa.
Namun paling menyedihkan katanya, dia bukan sahaja tidak menyangka malam itu adalah hari terakhir melihat anaknya namun paling diingati iaitu kata-kata Allahyarham.
“Ketika hendak keluar rumah, dia senyum dan kata ‘hari ini hari terakhir dengan mak’.
“Kata-kata ini, dia cakap sebelum pergi bekerja benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam.
“Saya ingat dia hanya bergurau tetapi rupa-rupanya itu kata-kata terakhir sebelum dia pergi selama-lamanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dia menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa anaknya ketika hendak menunaikan solat Subuh.
“Kerana terlalu terkejut saya terus rebah dan tidak sedarkan diri namun saya reda atas apa yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, adik mangsa, Mohamad Arizat Hanafis Azhar, 18, berkata, dia dan abangnya bersama empat lagi rakan menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan pulang dari Taiping ke Bagan Serai.
Katanya, ketika itu dia berada di depan bersama rakan-rakan lain.
“Apabila diberitahu ada kemalangan di belakang, saya terus berpatah balik. Saya terkejut apabila lihat mangsa kemalangan adalah abang saya sendiri. Saya pangku dia sambil tunggu ambulans.
“Namun abang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya yang memaklumkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Putat di sini selepas solat Zuhur kelmarin.-UTUSAN










