KOTA BHARU: Penggemar burung ketitir mampu meraih pendapatan lumayan jika burung peliharaan mereka menjuarai pertandingan seni suara spesies itu.
Sabri Abdul Latiff, 51, yang berasal dari Pattani, Thailand berkata, harga unggas itu yang memenangi pertandingan bakal melonjak tinggi apabila ada dalam kalangan peminat sanggup membayar nilai tertentu, semata-mata mahu mendengar suaranya.
Katanya, setakat ini harga burung ketitir peliharaannya yang paling mahal dijual bernilai RM12,000 bagi peringkat usia enam hingga lapan bulan (BB1).
“Harganya melonjak selepas memenangi pertandingan di Muar, Johor pada 2023. Kali ini mungkin boleh jual dengan harga lebih mahal kerana menang di peringkat Asia Tenggara, baru-baru ini.
“Harga minimum burung kategori BB1 adalah RM10,000 manakala RM15,000 bagi kategori peringkat usia sembilan hingga 11 bulan (BB2). Bagi kategori remaja pula (peringkat usia 12 bulan ke atas) harganya antara RM20,000 hingga RM30,000.
“Penjagaan burung ketitir ini sebenarnya mudah sahaja dan tidak melibatkan kos tinggi. Saya pelihara sebanyak 30 ekor burung ketitir dan hanya membelanjakan RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Unggas ASEAN 2025 di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa di sini, kelmarin.
Tambah Sabri, untuk pertandingan seni suara, dia cuma perlu menjaga pemakanan burungnya dengan memastikan ia mendapat zat vitamin mencukupi.
Katanya, dia telah berada di Kelantan sejak Khamis lalu untuk membuat persediaan awal berikutan pertandingan kali ini merupakan yang terbesar pernah disertai selama 25 tahun. – UTUSAN