Polis siasat ibu remaja perempuan jadi mangsa rogol bapa tiri

Polis siasat ibu remaja perempuan jadi mangsa rogol bapa tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis akan turut membuka kertas siasatan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) terhadap ibu remaja perempuan yang menjadi mangsa rogol bapa tirinya dalam kejadian di Gurun, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa pernah memberitahu ibunya yang dia telah dirogol beberapa kali sebelum ini oleh bapa tirinya namun wanita itu tidak mempercayainya.

“Kami sedang meneliti rakaman percakapan mangsa yang memaklumkan dia pernah beritahu ibunya tentang kejadian itu namun ibu mangsa memarahinya kerana mengada-ngadakan cerita.

“Jika siasatan mendapati terdapat unsur pengabaian kami akan mengambil tindakan terhadap ibu mangsa,” katanya semasa ditemui pada majlis larian Merdeka 2025 di sini.

Menurut Hanyan, hasil keputusan pemeriksaan perubatan terhadap mangsa mendapati terdapat banyak kesan koyakan lama di kemaluannya.

“Mangsa turut memaklumkan yang dia telah menjadi mangsa perbuatan jahat bapa tirinya itu lebih enam bulan lalu.

“Kejadian itu semuanya berlaku di dalam rumah yang didiami oleh mangsa bersama tiga beradik kandungnya serta empat adik beradik tiri yang berumur antara lapan hingga 17 tahun,” katannya.

Menurut Hanyan, perbuatan itu dilakukan terhadap mangsa secara bersembunyi dan polis turut menyiasat sekiranya mangsa pernah diugut untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

“Kami akan memanggil saudara kandung mangsa dan saudara tiri perempuan yang lain untuk dirakam percakapan sama ada mereka turut pernah dirogol bapa tiri yang merupakan seorang peniaga itu,” katanya.   

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes rogol anak tiri berusia 13 tahun.

Perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada gurunya yang bertindak membuat laporan polis setelah mangsa dilihat berada dalam keadaan murung dan suka menyendiri sejak kebelakangan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN