KUALA LUMPUR – Pengarah, pelakon dan penerbit terkenal, Dato’ Afdlin Shauki Aksan, terus diberi kepercayaan untuk menerajui Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bagi sesi 2026-2027 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini hari ini.
Pemilihan tanpa pertandingan itu membuktikan keyakinan dan sokongan berterusan ahli-ahli FDAM terhadap kepimpinan beliau dalam memimpin persatuan serta memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pengarah filem tempatan.
Pada AGM tersebut, Faizal Ariff dipilih sebagai Timbalan Pengerusi, Saiful Azmi Jamsari sebagai Ketua Sekretariat, Amelia Nasser sebagai Penolong Ketua Sekretariat, Don Hoe sebagai Bendahari dan Yuwaji sebagai Timbalan Bendahari, manakala Terry Chan, Ramdan Che Hassan, Eoon Shuhaini, Eyra Rahman serta Opie Zami dilantik menganggotai Ahli Majlis Kerja bagi sesi 2026-2027.
Afdlin berkata, kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli FDAM merupakan satu tanggungjawab besar untuk terus memperkukuhkan kedudukan persatuan sebagai suara utama yang mewakili pengarah filem di Malaysia.
“Mandat ini adalah satu amanah besar untuk saya terus memperkukuhkan peranan FDAM sebagai suara utama pengarah filem di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, antara keutamaan kepimpinan baharu adalah mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan pengarah tanpa mengira latar belakang, genre mahupun pengalaman.
Menurutnya, FDAM juga akan memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai pengarah berbangsa Cina dan India menyertai persatuan serta memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan FDAM benar-benar mewakili kepelbagaian industri perfileman negara.
Beliau turut menegaskan kepentingan mewujudkan sumber ekonomi baharu menerusi penerokaan platform tayangan kedua atau secondary exploitation platform supaya karya tempatan dapat terus menjana pendapatan selepas tayangan utama berakhir.
“Sudah tiba masanya kita melihat karya bukan hanya sebagai produk untuk tayangan pertama semata-mata, tetapi sebagai aset intelektual yang mempunyai nilai ekonomi jangka panjang melalui pelbagai platform tayangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, menyeru ahli-ahli FDAM agar terus memupuk semangat perpaduan dan profesionalisme bagi memastikan persatuan kekal relevan serta mampu memacu perkembangan industri kreatif negara.
AGM tersebut dipengerusikan oleh Dato’ Jurey Latiff Mohd. Rosli, dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh pengarah dan penyanyi, Asmawi Ani atau Mawi, sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Ahli Majlis Kerja, Jawatankuasa Biro dan Ahli Lembaga Tatatertib sebagai menghargai jasa serta sumbangan mereka sepanjang sesi pentadbiran yang lalu.










