KUALA PILAH: Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 hari ini, pemilik sebuah warung di Kampung Renggoh, Johol di sini menyediakan roti canai percuma kepada pelanggannya.
Pemilik warung, Norhayati Zakaria, 53, berkata, inisiatif itu adalah untuk sama-sama berkongsi rezeki sempena hari kebangsaan selain sedekah atas nama arwah ibunya.
“Bila pelanggan datang dengan pakaian patriotik, berkibar bendera dan makan bersama-sama, suasana jadi lebih meriah. Itu juga salah satu cara menyemai semangat patriotik terutama dalam kalangan anak muda,” katanya ketika ditemui hari ini.
Lebih menarik, selain memberikan roti canai percuma, dia turut mengagihkan bendera kecil, pelekat muka dan cabutan bertuah kepada pelanggan yang hadir.
Sementara itu, abangnya Nasaruddin Zakaria, 59, berkata, inisiatif untuk memberikan roti canai percuma ITU menjadi simbolik kepada semangat kemerdekaan yang dikongsi bersama pelanggan serta masyarakat setempat.
“Inspirasi saya agar kita sama-sana meraikan hari kebangsaan walaupun hanya dengan sekeping roti.
“Cara begini mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan dan memberi peluang mengenali kawan baharu. Siapa tidak mahu makan percuma, ingat roti canai, ingat merdeka,” katanya.
Katanya, suasana di warung itu lebih meriah apabila semua pekerja turut mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang sepanjang hari.
“Secara tidak langsung, kami dapat mempromosikan warung kami kepada orang ramai. Sambil kita meraikan hari kebangsaan, sambil itu juga kami mempromosikan menu makanan di sini,” katanya.-UTUSAN.










