BARCELONA: Sebuah armada kapal membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis, termasuk aktivis iklim terkenal Greta Thunberg, dijadualkan berlepas dari pelabuhan Barcelona pada Ahad dalam usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza’.
Misi yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla itu bertujuan membuka laluan kemanusiaan dan menamatkan apa yang digambarkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang sedang berlaku”.
Dalam kenyataan kepada media, kumpulan itu tidak mendedahkan jumlah kapal atau masa sebenar pelepasan, namun armada tersebut dijangka tiba di Gaza pertengahan September.
“Ini akan menjadi misi solidariti terbesar dalam sejarah dengan lebih banyak kapal dan lebih ramai peserta berbanding semua percubaan sebelumnya,” kata aktivis Brazil, Thiago Avila, pada sidang media di Barcelona.
Selain dari Barcelona, puluhan kapal lain turut dijadualkan berlayar dari Tunisia dan pelabuhan Mediterranean lain pada 4 September.
Aktivis juga akan mengadakan demonstrasi serentak di 44 negara, menurut Thunberg dalam hantaran di Instagram. Beliau merupakan sebahagian daripada jawatankuasa pemandu armada tersebut.
Antara tokoh lain yang menyertai misi ini ialah bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau, serta ahli parlimen dan aktivis dari pelbagai negara. Ahli parlimen Portugis berhaluan kiri, Mariana Mortagua, menyatakan bahawa misi ini adalah “sah di sisi undang-undang antarabangsa.”
Global Sumud Flotilla mendakwa ia adalah kumpulan bebas yang tidak bernaung di bawah mana-mana kerajaan atau parti politik. Sumud bermaksud “ketabahan” dalam bahasa Arab.
Ini bukan kali pertama aktivis cuba menghantar bantuan melalui laut ke Gaza. Dua percubaan terdahulu pada Jun dan Julai lalu telah disekat oleh Israel.
Pada Jun, kapal layar Madleen yang membawa 12 aktivis dari tujuh negara dipintas oleh tentera Israel kira-kira 185 kilometer dari pantai Gaza, dan kesemua aktivis kemudiannya ditahan dan dihantar pulang.
Pada Julai pula, 21 aktivis dari 10 negara turut disekat dalam misi kedua menggunakan kapal bernama Handala.










