KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Hamidun lebih mementingkan emosi anak angkatnya, Hamdee Hafiz, 5, berbanding terburu-buru mencari wanita untuk dijadikan isteri.
Ujar Hafiz atau Muhammad Hafiz Hamidun, 40, sekiranya suatu hari nanti dia bercadang mengakhiri zaman solo, keputusan itu juga perlu dipersetujui anak kesayangannya itu.
“Saya tak sempat nak cari pengganti kerana anak saya sedang membesar dan dia sudah bersekolah.
“Jadi apa pun sekarang saya kena serahkan pada dia, saya kena pastikan Hamdee bersama-sama saya dalam mengambil keputusan, bukannya saya seorang yang putuskan.
“Untuk berkahwin, ia bukanlah satu benda yang mudah. Saya tidak boleh fikirkan diri saya sahaja dan saya perlu fikirkan Hamdee juga. Jadi buat masa sekarang tiada,” katanya.
Hafiz ditemui di sidang media Seeking Rahma Gathering 2025, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, peranannya sebagai bapa teruji apabila Hamdee sudah pandai bertanya siapakah ibu kandungnya.
“Dia sudah mula bertanya siapakah ibunya. Soalan dia, siapa melahirkan dia. Nak jawab apa, nak susun ayat macam mana. Jadi bayangkan kalau saya kenalkan orang baru.
“Jadi saya perlu perlahan-lahan selesaikan supaya dia faham dengan keadaan sebenar.
“Dia tak bodoh, budak sekarang ini pandai dan boleh berfikir. Jadi agak sukar untuk saya memperkenalkan seseorang, kalau kita kenalkan seseorang yang baru nanti macam mana,” jelasnya.
Terdahulu, Hafiz pernah berkongsi dia mengambil seorang anak angkat lelaki sebagai penyeri hidupnya.
Sebelum ini, bekas penyanyi kumpulan nasyid UNIC itu pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan Joy Revfa pada 2017 namun bercerai selepas lima bulan berkahwin. -UTUSAN