MARANG: Seramai 35 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong di sini, menyampaikan hadiah tajaan Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. (Noor Arfa) kepada guru pilihan mereka sempena sambutan Hari Guru di sekolah itu.
Murid yang menyampaikan hadiah kain sarung batik kepada guru itu dipilih dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli hadiah kepada pendidik kesayangan mereka.
Murid darjah tiga, Maryyam Ellysha Mamat berkata, dia gembira kerana dapat menyampaikan hadiah itu kepada guru pendidikan Islam, Zawinah Jusoh.
Katanya, dia tidak mampu membeli hadiah istimewa kepada guru kesayangannya dan hadiah sumbangan Noor Arfa itu cukup berharga.
“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menyampaikan hadiah kepada Cikgu Zawinah pada Hari Guru ini,” katanya ketika ditemui, kelmarin.
Seorang lagi murid darjah lima, Qaisara Batrisya Mohd. Nasir berharap guru bahasa Melayu, Ruslani Zakaria gembira menerima hadiah yang disampaikannya tahun ini.
“Saya pilih cikgu Ruslani untuk sampaikan hadiah ini kerana sentiasa mengajar saya dengan baik dan penuh kesabaran,” katanya. – UTUSAN