Guru wanita ditahan dera kanak-kanak 6 tahun

Guru wanita ditahan dera kanak-kanak 6 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan guru wanita yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah tadika swasta di Kota Emerald, Rawang di sini, semalam.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat bapa mangsa pukul 11.13 malam, kelmarin.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi, 26 Mei lalu. 

“Bapa mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa melihat kesan kecederaan di kepala anaknya di rumah. Mangsa memberitahu ia berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya menggunakan pen semasa berada di tadika,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Ariffin, si bapa membawa anaknya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan kepala.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN