SEREMBAN: Seorang wanita yang merupakan penjaga sebuah pusat jagaan kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas empat pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun di bawah jagaannya bulan lalu.
Tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 19, bagaimanapun tidak mengaku salah atas kesemua pertuduhan ke atasnya itu yang didakwa dilakukan pada sekitar Ogos lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Merbok Ria, Rasah di sini.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, di hadapan Hakim, Datin Surita Budin, tertuduh sebagai orang pemeliharaan terhadap kanak-kanak terbabit didakwa telah menganiayai kanak-kanak dengan menekap sudu besi panas di lengan tangan kanan kedua-dua mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.
Untuk kedua-dua pertuduhan, tertuduh merayu jaminan diberikan kerana menghidap penyakit saraf, migrain dan tulang belakang.
“Saya tidak menjalani rawatan atas penyakit dihadapi. Saya juga hanya menerima elaun RM300 sejak lima bulan bekerja dan memohon mahkamah membenarkan wang jaminan diberikan” katanya.
Surita kemudiannya membenarkan wang jaminan diberikan kepada tertuduh bagi dua pertuduhan iaitu masing-masing sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri di balai berdekatan pada setiap bulan.
Sementara itu, di mahkamah berasingan di hadapan hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu melakukan penganiayaan terhadap dua kanak-kanak perempuan dengan cara menekap sudu besi panas di penumbuk kanan dan di lengan kanan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kecederaan fizikal iaitu melecur.
Meor Sulaiman bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.
Untuk kesemua pertuduhan, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta yang sama iaitu hukuman denda sebanyak RM50,000 dan penjara 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noraziha Asmuni dan Syamimi Farhana A Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tarikh sebutan semula terhadap semua pertuduhan itu ditetapkan pada 18 Oktober depan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada siding akhbar di Kuantan, Pahang berkata, polis menyerbu 20 buah rumah amal iaitu 18 di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia setahun sehingga 17 tahun. – UTUSAN










