PETALING JAYA: Seorang guru kecewa kerana permintaan untuk bertukar sekolah kerana tinggal berjauhan dengan suami masih belum diluluskan sehingga kini meskipun telah mengemukakan 10 kali permohonan sejak 2014 menerusi sistem eGTukar.
Warga pendidik itu yang mahu dikenali sebagai Siti berkata, sepanjang 11 tahun dia secara konsisten menghantar permohonan untuk berpindah tempat tugas, namun masih belum diluluskan walaupun mempunyai alasan kukuh.
Lebih mendukacitakan katanya, apabila ada dalam kalangan rakan sekerja yang baharu sahaja memohon, namun sudah mendapat kelulusan pertukaran.
“Saya terkilan dan agak ralat bagaimana guru-guru yang baharu memohon boleh diluluskan? Sedangkan saya sudah bertahun-tahun menghantar permohonan.
“Dulu syarat pertukaran adalah sekurang-kurangnya tiga tahun berkhidmat, tetapi ada yang belum cukup tempoh itu pun boleh lulus. Saya pernah buat rayuan, tetapi ditolak dengan alasan atas keperluan perkhidmatan. Sampai bila perkara ini akan berlarutan?” soalnya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan enam berita baik sempena sambutan Hari Guru antaranya guru muda yang baru berkhidmat sekurang-kurang dua tahun boleh memohon untuk bertukar ke sekolah lain yang dikehendakinya tanpa syarat.
Kata Siti, keadaan menjadi lebih mencabar apabila anak-anaknya kini semakin membesar dan ada yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti, namun beliau masih berjauhan daripada keluarga.
“Anak-anak dah besar, ada yang nak masuk universiti pun. Saya masih di sini, berpisah dengan suami. Saya cuma mahu berada dekat dengan keluarga. Saya minta pihak kementerian semak semula sistem ini.
“Harap Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif khusus dalam mengutamakan kelulusan pertukaran guru yang ada perkahwinan jarak jauh. Utamakan yang telah lama memohon dan pastikan tiada unsur pilih kasih dalam proses ini,” katanya.
Namun, bagi Siti dan guru lain yang berdepan isu pertukaran berharap perhatian yang sama diberikan terhadap perkara itu agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik tanpa tekanan emosi akibat berjauhan dengan keluarga.-UTUSAN










