'Guru jalin hubungan sulit bersama suami orang direhatkan daripada mengajar'

‘Guru jalin hubungan sulit bersama suami orang direhatkan daripada mengajar’

FADHLINA Sidek (tengah) ketika merasmikan Majlis Dermasiswa Pelajar STPM peringkat kebangsaan anjuran Farm Fresh Berhad di SMK Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Guru wanita di sebuah sekolah menengah di Melaka yang didakwa menjalin hubungan sulit bersama individu yang berstatus suami orang kini direhatkan daripada tugas mengajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru berkenaan bagaimanapun masih menjalankan tugas-tugas hakikinya sebagai seorang kakitangan awam.

“Guru tersebut perlu berada dalam proses siasatan dan maknanya, kita ambil tugas untuk memastikan bahawa tiada gangguan dalam siasatan itu.

“Jadi, kita keluarkan guru itu dari sekolah supaya siasatan boleh berlangsung dengan lebih mudah.

“Dalam erti kata lain, (guru tersebut) direhatkan daripada mengajar, tapi, masih menjalankan tugas-tugas sebagai seorang kakitangan awam sementara siasatan terhadapnya diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu guru wanita yang dipercayai menjalin hubungan sulit dengan seorang juruelektrik yang juga suami orang.

Perbuatan tidak bermoral guru terbabit dikatakan terbongkar selepas tangkap layar perbualan antara dia dan lelaki terbabit di aplikasi Whatsapp tular di laman sosial.

Terdahulu, Fadhlina hadir merasmikan Majlis Dermasiswa Pelajar STPM peringkat kebangsaan anjuran Farm Fresh Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius perkara yang diadukan terutamanya yang terkait rapat dengan integriti, akhlak dan kelakuan guru.

“Sama ada ia (isu) dilaporkan secara rasmi atau viral (tular), kita ambil secara serius dan perkara ini dalam siasatan.

“Kita mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan bahawa guru-guru kita ini mematuhi semua integriti dan etika keguruan yang telah pun ditetapkan oleh KPM.

“Jaminan kita adalah untuk memperkukuhkan bahawa kita sangat-sangat menjaga soal etika dan integriti guru ini dan mudah-mudahan guru-guru ini sentiasa diperingatkan dari semasa ke semasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN