Azam Baki perlu `direhatkan’ - Mahajoth Singh

Azam Baki perlu `direhatkan’ – Mahajoth Singh

Albert Tei (dua kanan) hadir membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkaitan pemilikan saham beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, diminta bercuti sementara atau melepaskan jawatan beliau sepanjang siasatan dijalankan.

Peguam Albert Tei iaitu Mahajoth Singh berkata, langkah berkenaan wajar bagi memastikan integriti agensi dan kepercayaan awam terhadap SPRM tidak terjejas akibat pelbagai kontroversi yang berlaku.

“Terlalu banyak skandal yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM kini menimbulkan keraguan serius terhadap keseluruhan proses penguatkuasaan undang-undang.

“Institusi SPRM penting untuk negara kerana ia menangani isu rasuah, namun pemimpin tertinggi yang terpalit kontroversi menjejaskan semua siasatan akan datang,’ katanya dalam sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Mahajoth turut mendakwa bahawa sebarang aduan atau laporan rasuah mungkin tidak akan disiasat dengan adil kerana penglibatan pengaruh Ketua Pesuruhjaya.

Beliau berkata, jika kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serius, langkah paling wajar adalah menasihatkan Azam bercuti bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi SPRM.

“Sekiranya Azam terus memegang jawatan, semua siasatan lain dianggap tercemar dan keabsahan penguatkuasaan undang-undang akan dipersoalkan.

“Tindakan bercuti sementara atau melepaskan jawatan bukan hukuman, sebaliknya langkah profesional untuk mengelakkan konflik kepentingan serta persepsi negatif,” katanya.

Dalam pada itu, Albert Tei telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku dan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan Azam Baki.

Beliau mendakwa, Azam Baki telah bersubahat dengan individu dikenali sebagai Lim dan Chin bagi merampas syarikat melalui cara paksaan.

Albert Tei mendakwa maklumat itu diperoleh menerusi laporan oleh media “Bloomberg” mendedahkan kewujudan rangkaian digelar Corporate Mafia membabitkan pegawai dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Albert Tei turut mendakwa Azam Baki memiliki saham di beberapa syarikat, termasuk Velocity Capital dan Awan Biru Teknologi yang melebihi had dibenarkan penjawat awam. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN