Grid Kuasa ASEAN tunjang perdagangan tenaga serantau

Grid Kuasa ASEAN tunjang perdagangan tenaga serantau

FADILLAH Yusof ketika berucap pada Mesyuarat Peralihan Tenaga di ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Serantau di Kuala Lumpur hari ini - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Grid Kuasa ASEAN (APG) menjadi tunjang utama dalam merealisasikan perdagangan tenaga rentas sempadan yang lebih bersepadu dan mampan di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah, ASEAN berpotensi untuk muncul sebagai kuasa tenaga hijau global.

“Namun, agihan sumber yang tidak sekata seperti tenaga hidro yang tertumpu di rantau Mekong serta potensi tenaga solar dan angin luar pesisir yang tinggi di negara-negara maritim seperti Filipina, Indonesia dan Malaysia memerlukan rangkaian kuasa yang lebih tersusun.

“Sehubungan itu, keutamaan harus diberi kepada usaha memperdalam integrasi fizikal dan institusi dalam sektor tenaga agar potensi serantau ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Peralihan Tenaga di ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Serantau, di sini.

Menurutnya, setakat ini, tujuh sambungan rentas sempadan telah beroperasi, manakala beberapa lagi dalam perancangan, sekali gus membuktikan perdagangan tenaga pelbagai hala bukan sahaja boleh dilaksanakan, malah membawa manfaat bersama kepada negara anggota.

“Antara contoh kejayaan perdagangan tenaga serantau adalah Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang membuktikan keberkesanan kerjasama erat antara negara terlibat dalam membangunkan sistem tenaga rentas sempadan.

“Malaysia juga aktif mengembangkan pertukaran tenaga dua hala dengan negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand,” katanya.

Fadillah berkata, satu pencapaian penting dicatatkan pada 13 Disember 2024 apabila Malaysia memulakan perdagangan tenaga hijau rentas sempadan pertama dengan Singapura menerusi platform Energy Exchange Malaysia (ENEGEM).

“Dalam tempoh 148 hari, lebih 107 terawatt-jam (TWh) tenaga hijau daripada sumber solar dan hidro telah berjaya disalurkan ke Singapura melalui Tambak Johor.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa sistem kuasa ASEAN yang pintar, fleksibel dan bersepadu bukan lagi sekadar aspirasi, sebaliknya telah mula terbentuk secara nyata,” ujarnya.

Tambah beliau, menjelang 2040, ASEAN dijangka memerlukan sekurang-kurangnya 24.4 gigawatt (GW) kapasiti penghantaran antara wilayah, dengan pelaburan melebihi AS$770 bilion (RM3.24 trilion).

Katanya, pelaburan berskala besar itu penting bukan sahaja untuk memperkukuh daya tahan sistem tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, malah turut menyokong pertumbuhan industri hijau serantau.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyelarasan atribut hijau, khususnya pengiktirafan bersama terhadap Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (RECs) juga penting bagi mengelakkan pengiraan berganda serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pembeli korporat.

“Malaysia menyokong penuh pembangunan rangka kerja RECs peringkat ASEAN yang selaras dengan amalan terbaik antarabangsa demi menjamin kebolehoperasian, ketelusan dan kredibiliti sistem perolehan tenaga bersih serantau.

“Usaha ini akan menjadi antara fokus utama Malaysia semasa memegang Pengerusi ASEAN, khususnya dalam memperkukuh kerangka serantau bagi menyokong agenda tenaga mampan dan hijau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN