Golongan profesional antara 22,000 mangsa ah long

Golongan profesional antara 22,000 mangsa ah long, pinjaman cecah RM40j

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 22,000 mang­sa ah long direkodkan di seluruh negara dengan jumlah pinjaman keseluruhan mence­cah RM40 juta sejak tahun 2023.

Perkara itu didedahkan Ke­tua Perunding Unit Banteras Along, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain, Adam Mustapa yang mana jumlah mangsa dan nilai pinjaman itu adalah mereka yang hanya ‘diselamatkan’ pihaknya.

Menurutnya mereka adalah dalam kalangan golongan profesional seperti pensyarah, arkitek dan usahawan, mangsa pelaburan mata wang forex termasuk personaliti televisyen seawal umur 15 tahun hingga 60 tahun.

Katanya, mangsa-mangsa ini kini dalam fasa pemulihan daripada kemurungan dan le­bih parah mengalami gangguan mental selepas menjadi mang­sa peminjam tidak berlesen atau ah long.

“Kerajaan tidak boleh pandang enteng masalah ini kerana setiap tahun jumlah peminjam meningkat antara 30 dan 50 peratus.

“Kesemua mereka akan menghadapi isu kesihatan mental jika gagal membayar pinjaman tepat pada waktunya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Adam berkata, berdasarkan pengalaman, sebanyak 80 peratus daripada peminjam itu sememangnya gagal membayar mengikut jadual pembayaran apatah lagi ditambah dengan beban ‘bunga’ yang melampau.

Katanya, ah long akan ‘me­ngejar’ mangsa-mangsa pinjaman dengan membuat ugutan, malah semakin berani sehingga melakukan perbuatan jenayah.

“Ugutan rogol adalah tindakan popular ah long buat masa ini. Lebih menyedihkan ugutan itu bukan lagi sekadar ugutan, sebaliknya ia benar-benar berlaku. Malah ahli keluarga mang­sa turut menerima ancaman.

“Ada antara mangsa yang cuba bertindak membunuh diri ekoran bebanan hutang yang meningkat,” katanya.

Menurut Adam, ah long sememangnya akan menganggu mangsa daripada aspek mental kerana mereka tahu mangsa akan berasa malu sekiranya keluarga atau orang sekeliling mengetahui tentang pinjaman yang dibuat.

Katanya, sebaik sahaja pinjaman diberikan, ah long akan menggodam telefon mangsa untuk mendapatkan akses ke data peribadi mangsa seperti aplikasi Whatsapp dan dari situ ah long akan tahu siapa ke­luarga dan kenalan mangsa.

“Inilah ketakutan mangsa yang rata-rata akan mengalami depresi teruk, perceraian, maruah tergadai dan harta benda musnah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya